Assalammualaikum, salam Jumaat semua. Hari ni che mat masak bubur nasi kambing. Entah kenapa, macam terkenang2 ajer bubur kambing yang biasa abang long che mat beli di RnR Pagoh, sapa pernah makan bubur kambing kat situ? Kalau dapat lambat, alamatnya jilat tapak tangan lah, habis dah. Nak2 kalau hujung minggu, lagi cepat habis. Memandangkan destinasi nak ke sana dari kampung che mat ni agak jauh. Jadi marilah kita bikin sendiri. Stok daging kambing pun memang ada dalam freezer, keras macam batu. Jadi sebelum tidur malam tadi, kasi keluarkan dulu. Pagi tadi bila check, elok dah lembut dia, boleh lah kita on masak bubur nasi kambing. Lain orang, lain cara mereka masak, dan bubur nasi kambing ni style che mat lah. Biasanya, kalau bikin bubur, guna beras wangi lebih sedap, tai untuk bubur nasi kambing, che mat guna beras cap rambutan beg biru tu saja. Ratio sukatan air kurang lebih 1 cawan beras dan airnya 10 cawan. Tapi tu terulang pada masing2, sama ada nak bubur nasi tu cair atau pekat. Seelok2nya toksahlah cair macam air paip, biarlah pekat sedikit, baru ada rasa, yea dak. Che mat taksuka masukkan macam2 benda dalam bubur tu, nanti kang jadi bubur lambuk pulak, tapi setakat nak masukkan kentang dan lobak merah tu ok lah kot. Apa2 pun semuanya terpulang pada selera masing2, dan yang nak makan pun kita, bukannya orang lain. Untuk resipi boleh rujuk di bawah ini...
BAHAN-BAHANNYA :-)
1 1/2 cawan beras cap rambutan @ beras wangi
Daging kambing secukupnya
1 inci halia*
3 ulas bawang putih*
1 camca besar ketumbar biji*
1 camca teh jintan manis*
1 camca teh jintan putih*
1 camca besar lada hitam biji*(*ditumbuk hancur)
1 batang serai, diketuk
1 helai daun pandan, disimpul
1 pokok daun ketumbar, dikerat kasar
1 batang kayu manis
2 kuntum bunga lawang
4 biji buah pelaga
6 kuntum bunga cengkih
Garam secukup rasa
3 liter air
Bawang goreng, untuk hiasan
Hirisan daun ketumbar, untuk hiasa
Kacang tanah goreng, untuk hiasan
CARA MEMBUATNYA :-)
- Cuci beras, dan rendam 20 minit. Sementara itu kita siapkan sup kambing dulu. Daging kambing digaul dengan sedikit tepung gandum dan perap sekejap. Cuci bersih dan masukkan ke dalam periuk. Tuang air dan rebus 20 minit. Buang air rebusan pertamanya. Tambah air baru (yang 3 liter tu). Masukkan serai, kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih, buah pelaga, sedikit garam dan bahan2 tumbuk hancur. Masak hingga daging kambing empuk. Tambah air panas jika perlu. Kalau guna periuk tekanan, ambik masa kurang lebih 20 minit.
- Toskan beras dan masukkan ke dalam periuk sup kambing tadi. Tambah daun pandan dan garam secukup rasa. Masa dengan api sederhana hingga beras kembang menjadi bubur. Jika suka bubur cair, boleh tambah air panas. Masuk daun ketumbar dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api.
- Hidangkan bubur nasi kambing dengan bawang goreng, hirisan daun ketumbar dan kacang goreng. Jika suka, boleh juga dicurahkan sedikit sambal kicap sebelum dimakan. Sedap dihidangkan panas2. Selamat mencuba!