Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat ambik kesempatan dengan sedikit masa yang terluang untuk kemas kini blog. Hari ni nak kongsikan resipi talam ubi, alaa, kuih yang bawah ubi dan atas atau bahagian kepalanya tu warna putih. Ini antara kuih2 melayu yang menjadi kegemaran che mat sekeluarga, terutama arwah Bak. Che mat lebih suka bikin sendiri, kerana kita boleh kawal tahap kemanisannya. Kalau yang beli tu kebanyakkan semuanya manis sangat. Faham, orang berniaga kan, kenalah ikut selera pelanggan, kalau tawar sah2 lah tak sapa nak beli. Satu tebiat orang melayu kita, kalau benda2 makan ni, dia orang segan nak tegur, risau si penjual akan berkecil hati, jalan mudah tak perlu beli. Maka penjual pun kehilangan pelanggan...huhu.
Resipi talam ubi kali ni che mat buat dalam acuan kuih lompang, sebenarnya ternampak sorang ni di youtube, dia bikin talam ubi dalam bekas kecil2, eh, comel pulak, dah lah tu, nak makan pun senang, tak payah susah2 nak potong. Jadi pakcik kau pun on lah resipi yang diberi. Ubi parut pulak memang ada tersimpan dalam freezer, rasanya dah berbulan2 beku, alhamdulillah masih elok. Dari permerhatian che mat, resipi yang diberi tu perlu diubah sedikit, terutama bahagian gulanya, kerana agak banyak dan manis. Bahagian kepala dia che mat buat agak nipis. Untuk resipi ini, kalau kita guna acuan kuih lompang plastik yang kaler merah tu, akan menghasilkan kurang lebih 26 - 27 biji kuih talam. Banyakkan, tapi jangan khuatir, boleh buat separuh resipi, apa susah. Ok, kalau teringin nak mencuba, meh che mat kongsikan resipinya di bawah ini...
BAHAN-BAHAN BAHAGIAN BAWAH :-)
500 gram ubi kayu yang telah diparut
250 ml santan, sederhana pekat
1/2 camca teh garam
100 gram gula melaka, potong kecil (jika suka lebih manis, boleh tambah lagi)
1 helai daun pandan
BAHAN-BAHAN BAHAGIAN ATAS :-)
250 ml santan pekat
1/2 camca teh garam
20 gram tepung beras
50 gram tepung ubi
35 ml air panas (kurang lebih 2 1/2 camca besar)
CARA MEMBUATNYA :-)
- Satukan gula melaka, santan sederhana pekat dan daun pandan. Masak dengan api kecil hingga gula larut, tak perlu sampai menidih. Tapis dan sejukkan. Ubi parut dimasukkan ke dalam kain jarang dan perah airnya. Ketepikan. Sementara santan sejuk, kita panaskan kukusan, balut penutup kukus dengan tuala bersih. Sediakan acuan kuih lompang dan sapu dengan sedikit minyak masak pada bahagian dalamnya, ketepikan.
- Masukkan ubi yang telah diperah tadi ke dalam mangkuk besar, tuang santan yang dimasak dengan gula merah dan tambah garam. Kacau hingga rata. Sudukan ke dalam acuan lompang 3/4 penuh. Buat hingga siap dan kukus 15 minit dengan api sederhana.
- Sementara itu kita buat untuk bahagian atasnya. Satukan semua bahan2 untuk lapisan atas dan kacau hingga semua sebati. Tapiskan ke dalam bekas bermucung. Buka tutup pengukus dan berhati2 tuang bahagian atasnya hingga penuh. Buat hingga habis dan kukus kembali selama 15 minit. Periksa bahagian atas kuih, jika tidak melekat bila disentuh, boleh matikan api. Biarkan kuih sejuk sebelum dikeluarkan dari acuan. Boleh hidangkan..Selamat mencuba!