Assalammualaikum, salam semua. Masih tak terlambat untuk che mat ucapkan selamat tahun baru 2020 pada semua pengunjung blog tiffinbiru. Tak sangka kita dah berada dalam tahun 2020, rasa macam mimpi. Syukur Allah swt masih izinkan che mat berblog, walaupun tidak sekencang dulu. Ada yang tanya, sampai bila nak berblog, in sha Allah selagi hayat dikandung badan, selagi Allah izinkan, diberi kesihatan yang elok, blog akan terus terisi. Doakan yea, agar che mat sihat sentiasa. Hari ni che mat bikin mi siam berkuah, menu yang popular di Johor dan Singapura. Resipi mi siam berkuah ni tidaklah susah mana untuk disediakan, cuma agak lecek sikit, kerana kita menyediakan 4 bahagian, iaitu mi hoon goreng, kuahnya dan sambal tumis serta bahan2 sampingan untuk dimakan dengan mi tadi. Tapi kita menggunakan 1 pes sambal saja yang akan dipelbagaikan kepada 3 bahagian. Mungkin ada orang yang tak biasa makan dan akan rasa pelik, tapi pada yang dah biasa, pasti akan tercari2 jika ke mereka ke Johor atau Singapura.
Resipi ini menggunakan tauco untuk kuahnya dan bahan2 sampingan seperti telur rebus, sambal tumis, isi udang, tauhu goreng, hirisan kucai, taugeh dan limau kasturi. Bila masa menu sebegini, satu benda yang paling kita kena jaga, ialah garam. Sebabnya dah ada penggunaan tauco, dan mi hoon goreng pula jangan terlebih garam, nanti bila dah dimakan dengan kuah, dah double masin, tu jam darah tinggi semua naik. Elok2 nak makan sedap, dah jadi pening kepala pulak, bahaya tu. Jadi part garam tu kena pandai2 handle lah yea, rasa dulu baru tambah, jangan main cempak semacam, takut tak boleh makan nanti. Kuahnya harus seimbang terutama dari segi masamnya. Tapi yang tu terpulang pada selera masing2lah yea. Walaupun nampak rumit, in sha Allah ia tidakah sesusah itu, percayalah cakap che mat....Jomm kita semak resipi....
BAHAN-BAHAN PES SAMBAL :-)
1 cawan cili kisar
4 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1 inci belacan
1 genggam udang kering, cuci dan rendam hingga lembut
Sedikit garam, anggaran 1 camca teh
CARA MEMBUATNYA :-)
- Kisar halus bawang merah, bawang putih, belacan dan udang kering. Panaskan 1 cawan minyak dan tumis bahan2 kisar halus hingga wangi. Masukkan cili kisar dan garam. Kacau rata dan masak dengan api kecil hingga pes cili terbit minyak dan berubah warna. Kacau sentiasa agar tidah hangus.
- Matikan api, biarkan sebentar dan bahagikan pes sambal tadi kepada 2 bahagian sama banyak. 1 bahagian nanti kita gunakan untuk buat kuah dan sebahagian lagi untuk goreng mi hoon dan untuk sambal tumis.
BAHAN-BAHAN KUAH MI SIAM :-)
1/2 bahagian pes cili
1 camca besar asam jawa*
1/2 liter air*(*diramas hingga asam larut, tapis)
1 batang serai, diketuk
2 camca besar kacang tanah tumbuk
2 camca besar taucu, taruk dalam tapis dan dibilas bawah air paip, tumbuk hancur
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya (anggaran 5 cawan)
CARA MEMBUATNYA :-)
- Masukkan 1/2 bahagian pes ke dalam periuk, tambah serai dan air. Kacau rata dan masak hingga mendidih. Masukkan taucu, jus asam jawa dan kacang tanah tumbuk. Kacau rata dan biarkan mendidih perlahan.
- Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Rasa dulu sebelum kita masukkan garam. Kuah perlu ada rasa masam, masin dan sedikit manis. Biar masak sekejap lagi dan boleh matikan api. Ketepikan.
BAHAN-BAHAN MI HOON GORENG :-)
200 gram mi hoon, rendam dalam air sejuk hingga lembut, toskan
1/2 bahagian pes sambal (cedok keluar 2 camca besar, untuk sambal tumis)
2 camca besar cili sos
1 camca besar sos tiram
1 genggam longgar taugeh, dibersihkan
5 - 6 tangkai kucai, hiris
1 keping fish cake, hiris
Air secukupnya, anggaran 1/4 cawan
CARA MEMBUATNYA :-)
- Panaskan sedikit minyak dalam kuali, tumis pes sambal, sos cili dan sos tiram, kacau rata. Masukkan fishcake dan air. Kacau dan biarkan mendidih sebentar. Sederhanakan api, masukkan mi hoon dan gaul rata. Masak hingga mi hoon lembut, tambah sedikit air panas jika perlu.
- Akhir sekali masukkan taugeh dan kucai, gaul hingga rata dan matikan api. Jangan masak lama sangat nanti taugeh lembik. Ketepikan.
- UNTUK SAMBAL TUMIS :- Masukkan 2 camca besar pes sambal yang telah diasingkan tadi. Tambah sedikit jus asam jawa. Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa. Masak dengan api kecil hingga mendidih. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Ketepikan.
BAHAN-BAHAN UNTUK MI SIAM BERKUAH :-)
Mi hoon goreng
Kuah
Sambal tumis
Telur rebus secukupnya, dibelah 4 setiap 1
Tauhu goreng, hiris nipis
Hirisan daun kucai
Taugeh secukupnya, dibersihkan
Limau kasturi, dibelah 2 setiap 1
Udang, dibuang kulit, dan dicelur sekejap
CARA MEMBUATNYA :-)
- Cedok mi hoon goreng ke dalam bekas sesuai, gunakan pinggan mungkum. Tuang kuahnya, pastikan dikacau dahulu sebelum dituang ke pinggan berisi mi hoon tadi. Hias dengan telur rebus, udang, tauhu goreng, hirisan daun kucai, taugeh dan sambal tumis. Perah limau kasturi sebelum dimakan. Selamat menjamu selera....