RESIPI LAKSA ASAM

rsz_lacm
Assalammualaikum, salam semua dan masih tak terlambat che mat nak ucapkan selamat tahun baru 2018. Masa pantas betulkan bila kita berada di akhir zaman ni, tau2 dah tahun 2018, ibarat mimpi ajer. Ini entri pertama che mat untuk tahun baru. Biasanya kalau resipi yang dah kerap taruk kat blog, che mat akan kongsikan saja di FB dan IG. Hari ni bikin laksa asam. Dari semalam dah mengidam sangat2 nak laksa asam. Laksa asam mudah dibuat dan biasanya menggunakan ikan kembong, ikan selayang @ ikan sardine, ikan tenggiri. Tapikan, kita boleh guna apa juga jenis ikan, cuma setiap jenis ikan akan memberi rasa kuah laksa asam yang berbeza. Che mat pernah guna ikan tongkol dan tak kalah sedapnya...

rsz_lacm1
Kuah laksa asam harus ada rasa masam dan kali ni che mat gunakan asam jawa dan asam gelugor. Jika suka kuah yang agal bersih, bolehlah dikeluarkan daun kesom dan bunga kantan. Isi ikan pulak ditaruk selepas daun kesom dan bunga kantan dikelurkan. Che mat buat tak berapa pedas sangat, sejak2 dah berusia ni, dah kurang sikit makan pedas, kalau dulu, kau lanyak semacam ajer cili padi, tak de masalah. Kalau suka boleh ditambah hirisan nanas sebagai salah satu ulaman (biasanya kalau ada nanas dah jadi laksa asam Penang). Sebagai penambah perisa, boleh dihidangkan dengan petis atau otak udang. Laksa asam boleh dikategorikan sebagai hidangan sihat kerana tak guna sebarang minyak. Kalau tekak anda kurang selera makan, apa kata cuba bikin laksa asam...Resipi seperti di bawah ini...

BAHAN-BAHAN KUAH LAKSA ASAM:-)
3 - 4 ekor ikan kembong saiz besar
5 keping asam gelugor
1/2 cawan jus asam jawa
1/4 cawan cili kisar
2 biji bawang besar*
5 biji bawang merah kecil*
2 inci belacan, dibakar*(*dikisar halus)
1 batang serai, diketuk
1 cekak daun kesom, cuci dan toskan
2 kuntum bunga kantan, dibelah 2 setiap 1
Air rebusan ikan secukupnya
Air panas secukupnya
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN-BAHAN SAMPINGAN :-)
Mi laksa secukupnya (kalau guna yang kering, rebus hingga lembut, toskan dan cuci bawah air paip)
Timun, diracik halus
Daun, salad, dihiris
Bawang besar, dihiris
Telur rebus secukupnya, dibelah 2
Hirisan cili merah dan cili hijau
Hirisan bunga kantan
Hirisan daun kesom
Daun pudina secukupnya
Limau kasturi secukupnya, dibelah 2
Petis @ Otak udang secukupnya

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK KUAH LAKSA ASAM :- Ikan disiang, cuci bersih dan rebus hingga ikan masak. Keluarkan, asingkan isi ikan dan pecah2kan isinya. Tulang ikan dikisar halus dengan air rebusan ikan. Tapiskan ke dalam periuk. Masukkan bahan2 kisar halus, cili kisar, serai, asam gelugor, jus asam jawa dan air panas (anggaran 1 liter). Kacau dan masak hingga mendidih. Tambah daun kesom dan bunga kantan. Perlahankan api, tutup periuk dan masak selama 45 minit, kacau sekali sekala.
  2. Keluarkan serai, daun kesom dan bunga kantan tadi. Masukkan isi ikan, kacau rata dan perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula (atau boleh guna serbuk perasa). Biarkan masak untuk 20 minit lagi. Rasa dan jika ok boleh matikan api.
  3. UNTUK MENGHIDANG LAKSA ASAM :- Taruk secukupnya mi laksa dalam mangkuk sesuai. Tuang kuah laksa secukupnya (pastikan kuah dikacau sebelum dituang ke dalam mangkuk). Hias dengan hirisan bawang besar, daun salad, cili merah, cili hijau, timun, telur rebus, hirisan daun kesom, bunga kantan, daun pudina dan sudukan sedikit petis. Perahkan jus limau kasturi sebelum dihidangkan. Sebelum makan, pastikan anda gaul laksa asam tadi agar semuanya rata dan sebati...Selamat mencuba!

Subscribe to receive free email updates: