Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat ada sedikit kerajinan. Maka marilah kita bikin kuih angku. Kuih angku apa? Pelik nya nama dia? Memang betul, kuih angku ini bukan kuih kita orang melayu tapi berasal dari China. Kuih angku menjadi kuih kegemaran terumata orang peranakan baba nyonya. Tapi orang kita juga suka kuih ni, sebab rasa dia seakan2 kuih koci. Kuih angku biasanya berbentuk bujur atau bulat, melambangkan kura2 yang sedang berehat. Kebiasaannya bewarna merah, tapi ni jam dah ada macam2 warna dan kuih ini yang aslinya menggunakan warna asli dari buah2an atau sayur2an. Contohnya untuk warna oren atau ungu macam che mat bikin ni, kita gunakan keledek. Warna hijau dari daun pandan, merah pulak dari ubi bit atau beet root. Warna biru dari jus bunga telang. Ada juga kuih angku hitam guna daun ramie, boleh baca kat sini . Bahan2nya seakan2 bancuhan kuih koci, menggunakan tepung pulut. Dan orang peranakan masukkan sedikit pati santan dalam adunan kulit kuih angku untuk mendapat rasa yang lebih lemak.
Inti kuih angku menggunakan kacang hijau yang telah dibuang kulit (yang ni boleh beli kat kedai2 runcit atau kedai menjual bahan2 masakan). Kacang hijau tanpa kulit tadi perlu direndam dan direbus atau dikukus hingga lembut, kemudian dimasak dengan gula dan sedikit minyak kacang (che mat guna minyak jagung atau boleh guna minyak masak biasa). Satu kebaikkan inti yang kita bikin sendiri, ialah kita boleh kawal tahap kemanisannya, samada nak kurang manis atau manis nak mati...Pasal acuan pulak, yang tu boleh dapat dikedai2 menjual barang baking atau serbanika. Ada dua jenis acuan kuih angku, satu yang diperbuat dari plastik dan satu lagi dari kayu. Yang che mat guna ni acuan dari kayu dan ada tulisan cina kat tengah2 dia. Errr, apa entah maksud dia, tapi biasanya kalau benda2 makan ni, dia orang akan tulis simbol untung, kesihatan dan murah rezeki, yang baik2 saja lah, bukan suruh pi mati yea. Buat sendiri lebih bagus dan terjamin kebersihan dan halal nya... Kalau nak cuba, meh che mat kongsikan resipinya di bawah ini...
BAHAN-BAHAN INTI :-)
200 gram kacang hijau yang telah dibuang kulitnya
2 camca besar minyak kacang tanah (che mat guna minyak jagung)
1 helai daun pandan, disimpul
1/4 camca teh garam
80 gram gula pasir ( resipi asal 120 gram)
BAHAN-BAHAN KULIT :-)
125 gram tepung pulut
120 gram ubi keledek ungu yang telah dibuang kulitnya
4 camca besar santan (che mat guna 2 camca besar santan kotak + 2 camca besar air)
4 camca besar air
2 camca besar minyak kacang tanah (che mat guna minyak jagung)
1/2 camca besar gula halus
Secubit garam
BAHAN-BAHAN LAIN :-)
Sedikit minyak masak untuk disapu pada daun pisang dan permukaan kuih
13 helai daun pisang berukuran 3 inci x 4 inci
CARA MEMBUATNYA :-)
- UNTUK INTINYA :- Cuci dan rendam kacang hijau tanpa kulit sekurang2nya 3 jam. Toskan dan rebus dengan daun pandan hingga kacang empuk, sukatan air masa merebus tu jangan terlalu banyak sangat, sekadar kacang tenggelam dalam 1 inci. Keluarkan daun pandan dan kisar kacang tadi dalam food processor hingga halus. Masukkan kembali ke dalam periuk, tambah gula dan garam. Kacau sentiasadan masak dengan api kecil hingga pekat.
- Masukkan minyak dan terus kacau hingga inti tidak melekat pada periuk. Angkat dan sejukkan. Cedok inti dalam 3/4 camca besar (kurang lebih 16 gram) dan bulat2kan, Buat sebanyak 13 biji. Tutup dengan plastik cling dan ketepikan. Inti yang tak habis boleh disimpan dalam peti sejuk.
- UNTUK KULITNYA :- Ubi keledek dikukus hingga empuk, lecek halus dan biarkan sejuk. Keledek tu kalau nak rebus boleh juga tapi lebih elok dikukus, kalau rebus, warna ungunya akan keluar dalam air rebusan dan akan mengurangkan warna ungu pada adunan kulit nanti. Masukkan tepung pulut ke dalam mangkuk berisi keledek lecek tadi, tambah gula halus, garam dan santan. Gaul rata dan masukkan air, terus gaul hingga menjadi doh.
- Masukkan minyak kacang tanah atau minyak masak, terus mengadun hingga mendapat doh yang lembut dan licin. Bahagikan doh kepada 13 bahagian sama besar, kurang lebih 30 gram setiap satu. Tutup dengan plastik bersih sebelum mulakan proses membuat kuih angku.
- UNTUK MEMBUAT KUIH ANGKU :- Ambil sebiji doh untuk kulit kuih angku. Tekan sedikit biar leper, ambik sebiji intinya yang telah dibulatkan tadi. Taruk ditengah2 doh dan balutkan hingga inti tertutup kemas. Bulat2kan, boleh rujuk gambar di bawah ini...
- Kemudian doh yang berisi inti tadi digolekkan dalam tepung pulut, tujuannya agar ia tidak melekat masa dicetak nanti dan senang dikeluarkan. Tekan perlahan2 doh ke dalam acuan kuih angku, corak apa itu terpulang pada masing2lah yea. Padat2kan dan terbalikkan acuan, ketuk 2 - 3 kali hingga kuih angku keluar. Susunkan atas daun pisang yang telah disapu dengan minyak masak. Buat hingga siap, boleh rujuk gambar di bawah
- Susun kuih angku dalam kukus yang telah dipanaskan. Balut penutup kukus dengan tuala dapur bersih. Kukus kuih tadi selama 7 - 8 minit dengan api sederhana. Kuih akan kelihatan jernih sedikit bila telah masak. Sapukan dengan sedikit minyak kacang tanah semasa kuih masih panas. Biarkan sejuk sebelum dihidangkan, Selamat mencuba!