RESIPI BEBOLA UBI GETUK GORENG

Assalammualaikum, salam semua. Buat juadah apa untuk minum petang hari ni? Che mat kat kampung ni, alhamdulillah, bahan2 mentah boleh dikatakan senang juga lah dapat. Biasalah dok kampung, setakat ubi ada lah juga, tapi kan bergantung juga pada diri masing2, mana yang malas nak bercucuk tanam tu, kawasan rumah luas pun tumbuh lalang dan semak samun, kalau yang rajin, tanah sekangkang kera pun penuh dengan pokok2 yang boleh dimakan. Hari ni che mat bikin getuk ubi. Tau getuk ubi tu apa? Bagi masyarakat jawa, kalau tak tau getuk ubi tu apa, elok kau terjun dalam laut ajer. Getuk ubi satu makanan yang cukup nostalgia terutama zaman mak2 kita dulu, ini lah antara hidangan sarapan ketika nak pi menoreh getah. Tapi tu jam takde lah digoreng macam che mat buat tu, cuma dipadatkan dalam loyang, lepas tu potong dan makan sama ikan masin tak pun makan macam tu saja, lawan dia dah tentulah kopi O panas... 

Mak che mat dulu memang suka buat ubi getuk. Kalau nak buat ubi getuk, ubi kena direbus dulu hingga empuk, tapi toksah sampai empuk benyek, empuk sikit sekadar bila kita tekan dia pecah, tu dah kira ok. Tambah kelapa parut putih, untuk kasi rasa lemak. Ada juga yang tak gemar taruk kelapa, yang tu terpulang lah, tapi bagi che mat, taruk kelapa lagi sedap. Kalau rebus sampai empuk benyek nanti lembik sangat, tu jam bila buat bebola dan kita goreng, nanti dia pecah, walaupun kau dah celop tepung dulu. Satu lagi, bebola ubi getuk buat besar sikit, jangan kecik sangat, tak cantik, tapi besar pun agak2 lah yea, jangan sebesar bola tennis pulak. Paling ngam cecah dengan sambal kicap. Kalau ada stok ubi kat rumah dan hendak mencuba, meh che mat tuliskan resipinya di bawah ini....Jommm kita semak..

BAHAN-BAHANNYA :-)
Ubi kayu secukupnya (angaran 1 kg)
Kelapa parut putih secukupnya (anggaran 1 cawan)
Sedikit garam dan gula
1 1/2 cawan tepung beras cap teratai
1 biji telur, saiz kecil
Air secukupnya, anggaran 3/4 cawan
1/2 camca teh garam
Beberapa titik perwarna kuning makanan

BAHAN-BAHAN SAMBAL KICAP :-)
25 tangkai cili padi thai yang warna merah
2 ulas bawang putih
1 camca besar bawang goreng
1 cawan kicap lemak manis Jalen
Gula jika perlu

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Kupas ubi, potong dan cuci bersih, rebus ubi dan masukkan garam, anggaran 1 camca besar. Rebus hingga ubi empuk tapi jangan sampai terlalu lembik. Bila rasa dengan jari, dia lembut saja dah ok. Toskan airnya dan hingga kering, atau boleh tenggekkan balik periuk ubi rebus ke atas dapur dan hidupkan api, api biar kecil, tunggu sampailah air dia kering, matikan api. Masukkan ubi ke dalam besen stainless steel atau bekas yang tahan panas dan tahan hentakan. Tumbuk dengan anak lesung batu hingga ubi hancur. 
  2. Tambah kelapa parut dan gula, sambung menumbuk, sesekali gaul ubi tadi dengan senduk agak kelapa dan ubi sekata. Rasa sedikit, jika perlu baru masukkan sedikit lagi garam. Terus menumbuk hingga ubi halus dan sebati. Cedok ubi getuk tadi kurang lebih 1 camca besar dan bulatkan menjadi bebola. Buat hingga siap. Ketepikan.
  3. Satukan tepung beras, garam dan telur. Kacau rata dan tuang air sedikit demi sedikit sambil dikacau hingga mendapat bancuhan yang tak berapa cair dan pekat, agak2 lah yea. Panaskan minyak untuk goreng terendam. Celop bebola ubi getok tadi dan goreng, balik2kan agar masak sekata. Tak perlu goreng lama sangat sebab ubi getok tu kan dah masak. Bila kuning keemasan, angkat dan toskan. Boleh hidangkan dengan sambal kicap.
  4. UNTUK SAMBAL KICAP :- Ada dua cara, sama ada cili dan bawang putih tu nak digoreng dulu atau tak. Che mat biasanya tak goreng, aku blend gitu saja. Ok, masukkan semua bahan2 untuk sambal kicap ke dalam blender, kalau nak tambah gula sedikit lagi pun boleh dalam 2 sudu besar, bila tambah gula, sambal kicap kita jadi pekat. Kendian kisar semua sampai halus. Sapa yang suka tu boleh juga tambah perahan jus limau kasturi. Tapi che mat tak letak pun. Sambal kicap yang sama juga sesuai untuk makan dengan soto. Selamat mencuba!

Subscribe to receive free email updates: