Assalammualaikum, salam semua. Rasa macam lama dah tak update blog, entahlah rasa macam kurang rajin ajer sejak2 ni, haipp! Bukan malas yea. Jadi hari ni che mat masukkanlah satu resipi baru sebagai entri blog. Bila dah lama tak update, mulalah jari jadi keras, nak menaip kat keyboard pun kekok, asyik nak typo ajer...huh.. Resipi yang che mat nak kongsikan hari ni ialah resipi kek oren tapi telah ditwistkan dengan menambah buah blueberry dalamnya. Sajalah nak nak buat pembaharuan, selain blueberry, boeh juga gantikan dengan raspberry. Tapi kalau tak suka, tak payah lah letak pun takpe, biar jadi kek oren kosong, tu pun dah sedap. Resipi asal dari Chef Wan dan che mat sendiri telah beberapa kali buat kek oren ni. Nak kasi tau, kek oren resipi ni bila dah masak, ia akan turun sedikit. bukan sebab kek tak jadi yea, tapi memang dah lumrah dia gitu. Tapi berbaloi, rasa dia memang, mintak amponnn sedapp! Jomm che mat kongsikan resipi dia kat bawah ni..
BAHAN-BAHANNYA :-)
250 gram mentega
2 cawan tepung naik sendiri (self raising flour), diayak dan asingkan 1 camca besar
4 biji telur gred A, asingkan kuning dan putihnya
2 biji buah oren, cuci dan lap kering
1/2 cawan gula kastor
120+ gram blueberry (1 paket), cuci, lap kering dan gaulkan dengan 1 camca besar tepung yang telah diasingkan tadi
CARA MEMBUATNYA :-)
- Panaskan oven pada suhu 170C, lenser tin 4 segi berukuran 8 x 8 x 3 inci dengan mentega dan alas dasar tin dengan kertas minyak (che mat guna bund-pant yang berlubang tengah). Parut kulit oren, pastikan parut bahagian kuning sahaja, sebab bahagian putih pahit. Kemudian limau tadi diperas jusnya, buang biji limau dan ketepikan.
- Putar mentega dan gula kastor hingga pucat dan gula hancur. Masukkan kuning telur satu persatu dan terus memutar hingga adunan kembang. Tambah parutan kulit oren dan putar sebati. Perlahankan kelajuan mixer, masukkan tepung berselang seli dengan jus oren, buat hingga selesai. Putar sebati dan ketepikan.
- Dalam mangkuk pengadun yang kering dan bersih, masukkan putih telur, putar hingga pekat dan bertanduk. Masukkan ke dalam adunan mentega, buat 3 bahagian, dan gaul rata, gunakan kaedah kaup balik. Akhir sekali masukkan buah blueberry bersalut tepung tadi dan kacau perlahan hingga rata, toksah kacau lama sangat.
- Tuang dalam tin atau acuan yang telah disiapkan awal2 tadi. Bakar selama 40 minit atau hingga kek masak, uji dengan mencucuk lidi sate bersih atau gunakan cake tester, jika keluar bersih tanda kek dah masak. Keluarkan dari oven, biar sekejap dan boleh terbalikkan atas jaringan. Biar kek sejuk sepenuhnya sebelum dipotong. Selamat mencuba!